JUNDIYATUL MUAWIYAH BINTI SIDEK

LAPORAN HARI SUKAN MAKTAB RENDAH SAINS MARA BALIK PULAU
      Sukan memainkan peranan penting dalam pembangunan individu. Melalui kegiatan sukan, murid-murid bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang ini, malah mereka juga akan memperoleh pengalaman lain seperti sosial, kepimpinan dan dapat mendisiplinkan diri. Sukan juga dapat menggalakkan kanak-kanak cemerlang dalam aspek intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial. Pada 4 Mac 2020, Maktab Rendah Sains MARA Balik Pulau telah mengadakan Hari Sukan Sekolah kali ke-30. Pelbagai aktiviti sukan telah diadakan bagi mencungkil bakat yang terpendam di dalam diri murid-murid.
      Sebelum hari sukan diadakan, guru-guru mengadakan perjumpaan dengan rumah sukan masing-masing di tempat yang telah ditetapkan. Perjumpaan ini bagi memudahkan urusan supaya dapat membina strategi. Pada awal perjumpaan, pelantikan jawatan diadakan bagi memudahkan urusan masing-masing. Selepas selesai pelantikan jawatan, ketua rumah sukan tampil ke hadapan bersama-sama penolong ketua rumah sukan serta setiausaha. Guru-guru menerangkan serba sedikit tentang tugas-tugas yang perlu disampaikan kepada ahli rumah sukan. Ketua rumah sukan mengeluarkan arahan kepada semua orang mengikut tugas-tugas yang telah dibahagikan seperti persiapan khemah, strategi kawad kaki dan lain-lain lagi. Selesai sahaja pembahagian tugas, ketua rumah sukan memberitahu sedikit maklumat tentang sukantara iaitu semua murid wajib menyertai.
       Pada 2 Mac 2020 dan 3 Mac 2020, aktiviti sukantara dijalankan dengan lancar. Semua murid telah melakukan yang terbaik setelah hampir sebulan turun latihan. Latihan yang dilakukan dapat menambah pengalaman kepada murid-murid. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir murid-murid yang tidak pernah mencuba acara tersebut seperti lompat jauh, lontar peluru dan lari 100 meter. Acara-acara tersebut mempunyai had-had yang ditentukan bagi melepasi dan mendapat mata bagi setiap acara. Selesai sahaja sukantara, semua murid menyambung semula aktiviti-aktiviti lain seperti latihan kawad kaki, persiapan khemah, acara yang disertai dan latihan bagi acara yang disertai.
      Pada hari kemuncak hari sukan ini, semua pelajar dan guru berdebar-berdebar kerana tidak sabar menanti jawapan yang sudah lama menjadi tanda soal dalam diri setiap individu. Semua guru diminta berkumpul di bawah ASTAKA dan murid-murid di bawah padang. Guru-guru memberikan ucapan ringkas dan menyampaikan hadiah kepada pemenag-pemenang. Akhirnya, inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh semua orang. Bagi acara sukantara, hiasan khemah dan kawad kaki jatuh kepada rumah sukan Belantara. Namun bukan bermakna Belantara menduduki nombor pertama. Rumah sukan nombor pertama jatuh kepada Kejora, kedua ialah Belantara, ketiga pula Purnama, keempat ialah Samudera dan akhir sekali jatuh kepada rumah sukan Suria. Selesai sahaja penyampaian hadiah dan pengumuman rumah sukan, semua pelajar dibenarkan naik ke bilik masing-masing bagi merehatkan diri.
     Hal ini demikian membuktikan bahawa sukan sangat penting kepada murid-murid. Hal ini dikatakan kerana murid-murid dapat mengeluarkan peluh supaya badan cergas, otak cerdas dan bersedia menimba ilmu dengan baik. Murid-murid juga dapat merehatkan minda mereka dengan aktiviti bersukan ini kerana mereka dapat melepaskan tekanan yang mereka hadapi dengan menjerit seperti menyokong ahli pasukan masing-masing. Oleh itu, sukan amat penting kepada setiap pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam kokurikulum mahupun kurikulum.
      Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa, peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kita haruslah bekerjasama dalam meningkatkan lagi potensi rumah sukan masing-masing. Sebagai contoh, kita hendaklah menghulurkan tangan kepada ahli-ahli kumpulan kita agar dapat mempercepatkan tugas-tugas yang diberikan. Oleh itu, semua orang digalakkan memberikan kerjasama yang padu bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Disediakan oleh,                                                                                                            15 Mac 2020
(JUNDIYATUL MUAWIYAH BINTI SIDEK)
Editor Majalah E-sukan

Comments

Popular Posts